Taiping: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan dua suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian cubaan menyamun kediaman di Taman Bukit Mas, Taiping, Perak.

Menerusi kejadian 2 Januari lalu, aksi kedua-dua suspek keluar dari lokasi kejadian berjaya dirakam menerusi video papan pemuka (dashcam) kereta jiran mangsa ketika kedua-dua suspek bergegas menaiki kereta jenis Honda City.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Razlam Ab Hamid berkata, susulan kejadian itu, pihak polis membuka siasatan di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan.

“Sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Taiping juga melakukan pemeriksaan ke atas nombor pendaftaran kenderaan dinaiki suspek.

‘’Hasil semakan mendapati nombor pendaftaran digunakan adalah palsu dan kereta digunakan merupakan kereta klon dan kenderaan sama kini berada dalam stor di Seri Kembangan, Selangor,’’ katanya.

Susulan kejadian, pihak polis kini sedang giat menjalankan risikan bagi mengesan dan menangkap penjenayah terlibat dan orang awam yang memiliki sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu pihak polis.

Terdahulu, pihak polis menerima satu laporan daripada pengadu yang merupakan pemilik kediaman yang menyatakan bahawa rumahnya telah dimasuki pencuri selepas dihubungi jirannya.

Mangsa kemudian bergegas pulang dan mendapati pintu pagar automatiknya ditinggalkan dalam keadaan terbuka dan terdapat kesan umpil pada kunci pintu hadapan.

Bagaimanapun hasil pemeriksaan di dalam rumah, tiada barang yang dilaporkan hilang.