KUALA LUMPUR: Peguam korporat, Datuk Sreesanthan Eliathamby dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan urus niaga orang dalam di tiga Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menarik balik kesemua pertuduhan ke atas beliau.

Keputusan mahkamah itu disahkan oleh peguam Sreesanthan, Joshua Andran ketika dihubungi pemberita.

Andran berkata AGC dan SC juga menarik balik rayuan mereka di Mahkamah Tinggi terhadap pembebasan Sreesanthan yang diputuskan Mahkamah Sesyen pada Januari lepas atas tiga pertuduhan urus niaga orang dalam.

"Pada 22 Jan 2021, AGC dan SC memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di atas keputusan Mahkamah Sesyen. Peguam cara Sreesanthan kemudiannya mengemukakan satu representasi kepada AGC dan SC baru-baru ini," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hashley Tajudin mengesahkan perkara itu.

Pada 11 Jan tahun ini, Hakim Mahkamah Sesyen Zamri Bakar membebaskan Sreesanthan tanpa perlu membela diri di akhir kes pendakwaan dan beliau bersetuju dengan hujahan pembelaan bahawa maklumat dalaman yang dimaksudkan sebenarnya boleh diakses orang awam menerusi beberapa jurnal bereputasi baik dan komentar.

Pada 20 Julai 2012, Sreesanthan, seorang bekas pengarah bukan eksekutif bebas Sime Darby mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan urus niaga orang dalam di bawah Akta Industri Sekuriti dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan.

Pertuduhan urus niaga orang dalam ke atasnya melibatkan 625,000 saham dalam Sime Darby Bhd, Maxis Communications Bhd, UEM World Bhd dan VADS Bhd.

Beliau didakwa menggunakan maklumat mengenai pemerolehan, penswastaan dan penstrukturan semula korporat syarikat-syarikat berkenaan untuk memperoleh saham-saham syarikat terbabit antara 2006 hingga 2008.

Beliau dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di Bursa Malaysia Securities Bhd, Bukit Kewangan di sini antara 9 Okt 2006 hingga 18 Sept 2008.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda minimum RM1 juta dan penjara maksimum 10 tahun bagi setiap kesalahan di bawah Akta Industri Sekuriti 1983 dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

-- BERNAMA