DUNGUN: Seorang pekebun maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang hilang kawalan dan terbabas.

Nahas berlaku di kilometer 372.1 Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Besi, Dungun, kira-kira jam 4.30 petang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi berkata mangsa yang maut Mohamad Rizuwan Mat Nawi berusia 41 tahun.

Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari arah Kuala Terengganu ke rumahnya di Felda Kerteh Enam di Dungun.

Setibanya di lokasi, motosikal yang ditunggang mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas dan terseret sejauh 50 meter.

Ekoran kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan akibat kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.