NATIONAL
Pekerja asing: Kerajaan benar pertukaran majikan rentas sektor - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution (kanan) dan Steven Sim (kiri) ketika Mesyuarat Jawatankuasa Bersama mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-13, Bil 1 Tahun 2025 di Putrajaya hari ini. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk membenarkan pertukaran majikan pekerja asing merentasi sektor penggajian, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ringkasan AI
- Kerajaan memutuskan untuk membenarkan pertukaran majikan pekerja asing merentasi sektor penggajian, yang sebelum ini hanya dibenarkan dalam sektor yang sama dengan syarat tertentu. Perubahan dasar ini akan memberi manfaat kepada kerajaan, majikan, dan pekerja asing.
- Mesyuarat turut bersetuju dengan syor Jabatan Imigresen Malaysia supaya perihal pengurusan memo Periksa Keluar (Check Out Memo - COM) pekerja asing diperkasakan. Majikan wajib hadir di pintu keluar antarabangsa bagi mengurus daftar keluar pekerja asing, dan kegagalan boleh dikenakan sekatan permohonan kuota baharu dan urusan keimigresenan lain.
- Kerajaan akan bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran peraturan dan undang-undang berkuat kuasa. Semua pihak dimohon supaya cakna terhadap ketetapan dasar kerajaan dan mematuhi peraturan yang digariskan tanpa gagal.
"Perubahan dasar ini akan memberi pelbagai manfaat bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga kepada majikan dan pekerja asing.
"Tambahan pula, ia merupakan amalan baik yang disarankan oleh organisasi-organisasi antarabangsa berkaitan buruh dan telah diguna pakai oleh negara-negara maju yang lain," katanya dalam kenyataan sempena mesyuarat berkenaan hari ini.
Selain itu, beliau berkata mesyuarat turut bersetuju dengan syor Jabatan Imigresen Malaysia supaya perihal pengurusan memo Periksa Keluar (Check Out Memo - COM) pekerja asing diperkasakan.
"Dengan persetujuan pada hari ini, majikan wajib untuk hadir di pintu keluar antarabangsa bagi mengurus daftar keluar pekerja asing sepertimana majikan mengurus kemasukan pekerja asing.
"Kekhilafan atau kegagalan majikan boleh dikenakan sekatan permohonan kuota baharu dan sekatan urusan keimigresenan lain," katanya.
Saifuddin Nasution berkata semua pihak dimohon supaya cakna terhadap ketetapan dasar kerajaan dan mematuhi peraturan yang digariskan tanpa gagal.
"Dalam hal ini, kerajaan akan bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran peraturan dan undang-undang berkuat kuasa," katanya.
Mesyuarat yang berlangsung selama dua jam bermula 3 petang itu turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni serta pegawai tinggi kementerian.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami