IPOH: Seorang ejen insurans kerugian RM333,600 selepas diperdaya membuat pelaburan yang tidak wujud secara maya.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki itu yang berusia 46 tahun dari Taman Pari, di sini, pada Selasa.

Menurutnya, suspek memperdaya pengadu melalui media sosial Facebook dan kumpulan WhatsApp untuk membuat pelaburan menggunakan aplikasi ‘Bain Online’ yang tidak wujud.

Katanya, siasatan pihak polis mendapati, pada 15 Okt lalu, semasa berada di sebuah medan selera di Taman Canning Ipoh, pengadu berkenalan dengan seorang wanita bernama Eva (suspek) yang berperanan sebagai pentadbir sebuah kumpulan WhatsApp secara maya, melalui pautan di Facebook.

“Suspek memperdaya pengadu untuk membuat pelaburan melalui satu aplikasi ‘Bain Online’,” kata Mohd Yusri dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Menurutnya, bagi tempoh antara 19 Okt dan 12 Dis lalu, pengadu telah memasukkan dana sebanyak 12 kali ke dalam lima akaun yang berjumlah RM333,600.

Namun, katanya, apabila pengadu ingin mengeluarkan wang keuntungan pelaburan, suspek meminta pengadu membuat bayaran komisen sebanyak RM57,400.

Ketika itu pengadu sedar bahawa dia telah ditipu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan dengan itu, sekali lagi PDRM Perak ingin memberi peringatan kepada masyarakat umum supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, khususnya melalui aplikasi kewangan / pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” ujarnya.

Mohd Yusri berkata, orang awam boleh menghubungi talian National Scam Response Center (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud dan baharu sahaja membuat transaksi ke 'akaun keldai'.

Tambahnya, untuk sebarang pertanyaan mengenai jenayah penipuan, mereka boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013-2111222 (WhatsApp sahaja) yang beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

Bagi maklumat lanjut mengenai trend jenayah penipuan terkini, mereka boleh melayari www.facebook.com/jsjkpdrm atau www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP.

Di samping itu, orang awam juga boleh menyemak akaun bank dan nombor telefon yang mungkin terlibat dalam kes penipuan melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my