IPOH: Seorang wanita warga emas terpaksa menanggung kerugian lebih RM6.2 juta akibat terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang disertainya menerusi Facebook dan kumpulan aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ia merupakan jumlah kerugian paling tinggi melibatkan kes 'scam' atau penipuan di Perak setakat ini.

Katanya, pihaknya semalam menerima laporan daripada wanita berumur 61 tahun, yang berasal dari Taman Rasi Jaya, di sini, yang mengadu diperdaya untuk menyertai skim pelaburan emas.

Menurutnya, siasatan polis mendapati pada 14 Okt 2023, semasa pengadu berada di rumah, dia melayari satu blog pelaburan di Facebook dan menekan pautan kepada nombor telefon suspek di dalam aplikasi Whatsapp.

“Kemudian, suspek memasukkan nombor telefon pengadu ke dalam kumpulan Whatsapp berbeza-beza bagi tujuan pelaburan dalam pasaran emas.

“Sejak daripada itu, pengadu telah memasukkan dana sebanyak 32 kali ke dalam 11 akaun yang berbeza, berjumlah RM6,220,000,” kata Mohd Yusri dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pengadu sedar dia telah ditipu apabila ingin mengeluarkan wang pelaburan sebanyak RM2,200,000 tetapi tiada maklum balas diterima daripada suspek.

Tambahnya, platform pelaburan itu juga tidak dapat diakses.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, polis sekali memberi amaran kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan di platform media sosial, khususnya melalui skim yang tidak diluluskan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.