YONG PENG: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak sekiranya terbukti wujud kecuaian berhubung insiden kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Yong Peng, di sini, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata satu semakan dalaman menyeluruh telah diarahkan serta-merta bagi meneliti tatacara keselamatan premis, rekod kehadiran sesi kelas bimbingan, serta tahap kawalan pengawal keselamatan bertugas.
"Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa.
"Ini termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta aspek kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah. Syarikat kawalan keselamatan turut diminta memberikan kerjasama bagi semakan tersebut.
"Jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil," katanya menerusi satu kenyataan selepas mendengar taklimat di Yong Peng dan menziarahi waris mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) pagi ini.
Mengulas lanjut status siasatan pihak berkuasa, Fadhlina mengesahkan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
"Berdasarkan maklumat PDRM, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.
"Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan. Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis," jelasnya.
Beliau menambah, KPM tidak akan mendahului proses perundangan polis di samping memastikan bantuan sokongan psikososial dan kaunseling diberikan kepada rakan sekolah serta guru yang terkesan dengan tragedi menyayat hati itu.