Seorang murid tahun satu maut selepas dirempuh sebuah lori ais pada Ahad.

Insiden berlaku di kilometer sembilan Jalan Sungai Tong-Pelong berhampiran Kampung Langkap, Setiu kira-kira jam 9.15 pagi.

Mangsa Muhammad Afeef Mohd Adnan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketika kejadian lori ais berkenaan selesai menghantar ais di sebuah kedai runcit dan ketika ingin memulakan perjalanan pemandu berkenaan dipercayai mengesan terlanggar sesuatu.

Pemandu yang berusia 39 tahun itu memberhentikan lorinya sebelum mendapati seorang kanak-kanak berada di bawah kenderaan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Jelasnya mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.