KOTA KINABALU: Seorang pelajar perempuan yang hilang sejak semalam ditemukan selamat tanpa sebarang kecederaan di hadapan kediaman rakannya di Lorong Seri Pelangi, Inanam di sini petang tadi.
Gwynne Mia Erbin, 12, dikesan kira-kira 3 petang dalam keadaan bersendirian dan tidak menunjukkan sebarang tanda gangguan fizikal mahupun masalah kesihatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Syed Lot Syed Ab Rahman mengesahkan bahawa dapatan awal menunjukkan pelajar terbabit bertindak keluar bersama seorang rakan sejak semalam.
"Pelajar berkenaan kemudiannya diiringi ibunya pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi melengkapkan prosedur laporan susulan serta tindakan siasatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata orang ramai turut diingatkan agar memelihara privasi keluarga serta menghentikan sebarang spekulasi liar mahupun penyebaran khabar angin di platform digital hingga proses siasatan dimuktamadkan.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melahirkan penghargaan mendalam atas keprihatinan orang awam yang menyalurkan petunjuk serta mengedarkan maklumat kes berkenaan secara meluas.
Terdahulu, waris pelajar terbabit menzahirkan rasa syukur dan merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi keselamatan serta warga maya atas bantuan berterusan hingga anak mereka berjaya dibawa pulang dengan selamat.
-- BERNAMA