Skip to main content

Malaysia

Pelajar terbaik STPM, anak pemandu lori harumkan nama Kedah

Nurul Danish Farhana menerima pengiktirafan berprestij itu daripada MPM pada majlis pengumuman keputusan STPM 2025 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Nurul Danish Farhana menerima pengiktirafan berprestij itu daripada MPM pada majlis pengumuman keputusan STPM 2025 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Advertisement

ALOR SETAR: Anak seorang pemandu lori dari Kampung Tanjung Sena, Mukim Tunjang, Jitra mengharumkan nama Kedah selepas dipilih penerima Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 bagi kategori Aliran Sains Sosial.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra, Nurul Danish Farhana Mohd Fauzi menerima pengiktirafan berprestij itu daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) pada majlis pengumuman keputusan STPM 2025 di Kuala Lumpur pada Khamis.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Ishak Awang berkata, kejayaan pelajar berusia 20 tahun itu merupakan satu kebanggaan buat negeri ini.

“Seorang calon iaitu Nurul Danish Farhana Mohd Fauzi dari SMK Jitra telah dipilih untuk menerima Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Aliran Sains Sosial," katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2025 di sini.

Menurut beliau, pencapaian cemerlang Nurul Danish turut seiring dengan prestasi keseluruhan STPM negeri yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan tahun ini.

Katanya, Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Kedah meningkat kepada 2.97 berbanding 2.89 pada tahun lalu, sekali gus menjadi pencapaian terbaik negeri sejak pelaksanaan peperiksaan STPM.

“Seramai 97 calon atau 3.97 peratus memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM 2025 berbanding 98 calon atau 3.51 peratus pada tahun 2024.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.46 peratus dari segi peratusan calon yang memperoleh PNGK sempurna,” ujarnya.

Beliau berkata, daripada 2,619 calon sekolah kerajaan yang mendaftar, seramai 2,442 calon atau 93.24 peratus hadir menduduki peperiksaan bagi ketiga-tiga semester.

Menurutnya, sebanyak 2,425 calon atau 99.30 peratus memperoleh lulus penuh, meningkat berbanding 98.78 peratus pada tahun sebelumnya.

“Sebanyak 40 daripada 52 pusat peperiksaan di Kedah berjaya mencapai 100 peratus lulus penuh. Semua 2,442 calon yang hadir juga layak dianugerahkan Sijil STPM 2025,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ishak memaklumkan, empat institusi pendidikan di Kedah turut menerima pengiktirafan kebangsaan daripada MPM menerusi Anugerah Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025.

Beliau berkata, Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Alor Setar dan Kolej Tingkatan Enam Kulim menerima anugerah bagi kategori Kolej Tingkatan Enam.

“Manakala SMK Kubor Panjang, Alor Setar dan SMK Chio Min (CF), Kulim menerima Anugerah Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Mod 2 dan Mod 3,” katanya. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement