KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut manakala dua lagi cedera setelah motosikal ditunggang bertembung dalam kawasan kampus di Gong Badak, Kuala Nerus, malam Rabu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam menyebabkan mangsa, Wan Muhamad Azhar Izzuddin Wan Abdul Razak, 21, yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Dakwah maut di lokasi kejadian.

Sementara itu, dua lagi mangsa masing-masing berusia 23 tahun dikatakan parah dalam kemalangan itu.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari asrama ke majlis perasmian Festival Kokurikulum di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di kampus berkenaan.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa dikatakan bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang dinaiki dua lagi mangsa dari arah bertentangan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala manakala dua lagi mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Naib Canselor, Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga UniSZA merakam ucapan takziah melalui hantaran di laman rasmi Facebook universiti berkenaan.

"Salam takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga, sahabat dan kenalan Allahyarham Wan Muhammad Azhar Izzuddin W Abdul Razak (Pelajar ISM Pengajian Islam (Dakwah) Dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA) yang sudah kembali ke rahmatullah sebentar tadi (malam Rabu).

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman," katanya. - Sinar Harian