Kerajaan Malaysia menggariskan Pelan Tindakan Kesihatan Lelaki Kebangsaan bagi memastikan kesaksamaan dan kesamarataan dalam perkhidmatan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, Malaysia menjadi negara keempat di dunia selepas Brazil, Ireland dan Australia dalam pelaksanaan pelan itu, dan ia membabitkan kerjasama antara kementerian dan jabatan kerajaan serta bukan kerajaan dalam hal kesihatan lelaki.

"Kementerian Kesihatan memandang serius terhadap jurang kesihatan lelaki. Kajian dan maklumat terkumpul menunjukkan masalah kesihatan bagi lelaki Malaysia kian meningkat dalam era ini," katanya dalam ucapan perasmian sambutan Hari Kesihatan Lelaki peringkat Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Teks ucapan Dr Subramaniam dibacakan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Datuk Dr Azman Abu Bakar, yang mewakili beliau pada majlis sambutan itu.

Tambah beliau, golongan lelaki di Malaysia kini terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan dan penyakit termasuk jangka hayat lebih pendek iaitu 72.6 tahun berbanding 77.2 tahun bagi wanita.