REMBAU:Pelan Vaksinasi Kebangsaan yang dirangka bagi perancangan secara menyeluruh sebelum negara menerima vaksin yang dijangka bermula bulan hadapan, akan dimuktamadkan Khamis ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu akan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 yang dipengerusikannya secara bersama dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, vaksin berkenaan tidak perlu lagi diuji apabila tiba di negara ini memandangkan ujian klinikalnya telah diberikan kepada puluhan ribu individu sebelum ia mendapat kelulusan.

“Jadi khamis ni kita ada Mesyuarat Jawatankuasa Jaminan Vaksin Covid-19, dipengerusikan saya bersama Dr Adham untuk kita cuba memuktamadkan pelan vaksinasi ini yang akan bermula insya-Allah bulan 2 ini (Februari) apabila vaksin kita sampai, sehingga hujung tahun.

“Kedua, saya juga sedang merangka satu pelan ekonomi sentuhan rendah di mana banyak perkara dapat dilaksanakan tanpa kita menyentuh apa apa,” kata beliau selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Rembau, hari ini.

Sementara itu, tambah Ahli Parlimen Rembau itu lagi, pihaknya sudah melaksanakan program rintis untuk membersihkan kawasan sesak bagi mengurangkan kes penularan COVID-19.

Malah menurutnya, aplikasi MySejahtera juga akan membantu untuk mengingatkan rakyat untuk bila dan di mana mereka akan mendapatkan vaksin berkenaan.

Khairy sebelum ini memaklumkan jawatankuasa khas jaminan vaksin sedang menyediakan pelan vaksinasi kebangsaan yang akan dibentangkan jemaah menteri pada awal Januari 2021.

Antaranya termasuk hospital mana yang rakyat boleh daftar untuk mendapatkan vaksin selain beberapa soal lain termasuk isu pekerja asing, pengangkutan dan penyimpanan vaksin COVID-19 berkenaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini memberi jaminan kerajaan akan memastikan bekalan vaksin yang berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat negara ini.

Beliau berkata, vaksin itu juga akan diberi secara percuma kepada rakyat melalui tiga fasa imunisasi dikendalikan Kementerian Kesihatan.