NATIONAL
Pelancong ke Malaysia meningkat kepada 6.7 juta pada Januari-Februari

Singapura kekal menjadi negara penyumbang utama pelancong ke Malaysia dengan 3.1 juta orang, diikuti China, Indonesia, Thailand dan Brunei. - Gambar hiasan/Bernama
SANDAKAN: Kedatangan pelancong ke Malaysia meningkat sebanyak 31.3 peratus kepada 6.7 juta orang bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.
Ringkasan AI
- Kedatangan pelancong ke Malaysia meningkat sebanyak 31.3 peratus kepada 6.7 juta orang dalam dua bulan pertama tahun ini, dengan Singapura sebagai penyumbang utama.
- Jumlah pendapatan pelancongan mencapai RM106.78 bilion tahun lepas, mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 43.7 peratus pada 2023.
- Tourism Malaysia melancarkan brosur "A Guide to Sandakan" untuk mempromosikan pelancongan ke Sabah selaras dengan kempen Visit Malaysia 2026 (TMM2026).
"Pasaran utama yang menyumbang kepada kedatangan pelancong ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia dan Taiwan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Batu Sapi itu berkata jumlah pendapatan pelancongan mencapai RM106.78 bilion tahun lepas, mencatatkan pertumbuhan yang ketara sebanyak 43.7 peratus pada 2023 dan melebihi paras 2019 sebanyak 20 peratus.
Sementara itu, Khairul Firdaus berkata Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) telah melancarkan brosur direktori terbaharu - "A Guide to Sandakan" sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam mempromosikan pelancongan ke Sabah selaras dengan kempen Visit Malaysia 2026 (TMM2026).
Beliau berkata "A Guide to Sandakan" menyenaraikan pelbagai tarikan, menyajikan gabungan mempesonakan landskap alam semula jadi yang menakjubkan, kepelbagaian flora dan fauna, aktiviti pengembaraan, pengalaman kekayaan budaya serta hidangan tempatan.
Ia boleh diperoleh di lapangan terbang dan diedarkan melalui agensi pelancongan bagi memastikan akses yang mudah kepada pelancong.
"Daripada berinteraksi dengan orang utan di habitat semula jadi hingga mendekati Beruang Matahari Borneo, maskot TMM2026, Sandakan menawarkan gabungan pengalaman unik bertemu hidupan liar dan pengembaraan. Ditambah dengan hidangan tempatan dan makanan laut segar, ia adalah pintu masuk unggul untuk meneroka Sabah," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami