KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menghantar pulang pelarian Myanmar ke negara asal mereka sekiranya masih berdepan penganiayaan atau nyawa mereka terancam.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata ketika ini Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengenal pasti pelarian yang akan dihantar pulang susulan persetujuan Myanmar menerima semula 5,000 pelarian hasil rundingan antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, Malaysia sebagai negara yang bertanggungjawab perlu memastikan aspek keselamatan dan kebajikan pelarian terbabit diberi keutamaan sebelum sebarang tindakan dilaksanakan.
"Perkara ini sedang diteliti oleh Wisma Putra dan Kementerian Dalam Negeri. Seramai 5,000 pelarian Myanmar ini akan dikenal pasti, tetapi semestinya Malaysia sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab tidak akan menghantar pulang sekiranya mereka dizalimi atau nyawa mereka terancam.
"Ada beberapa perkara yang akan kita teliti dahulu dalam perbincangan dengan kerajaan Myanmar sebelum kita melaksanakan perkara yang telah dimaklumkan Perdana Menteri," katanya pada sidang media mingguan pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di sini, pada Rabu.
Fahmi berkata, walaupun kerajaan Myanmar bersedia menerima semula pelarian berkenaan, beberapa kriteria masih perlu diteliti bagi memastikan proses penghantaran pulang itu bersesuaian.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengambil maklum bahawa pelarian terbabit tidak boleh dihantar pulang sekiranya keselamatan mereka masih terancam.