Skip to main content

Malaysia

Pelayan bar mengaku tidak bersalah memandu bawah pengaruh alkohol, sebabkan kematian

https://www.sinarharian.com.my/article/778980/berita/semasa/pelayan-bar-didakwa-pandu-mabuk-sebabkan-kematian-ibu-muda
Tertuduh didakwa memandu sebuah kenderaan di bawah pengaruh alkohol dalam darahnya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian Nur Aleya Natasha Roslan, 21. - Gambar/ Sinar Harian

MELAKA: Seorang pelayan bar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal pada Selasa lepas.

S. Darshan, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah kenderaan di bawah pengaruh alkohol dalam darahnya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian Nur Aleya Natasha Roslan, 21.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Ujong Pasir berhadapan Kondominium Pasir Mutiara, kira-kira 2.30 pagi, 5 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama 10 tahun daripada tarikh sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin menawarkan jaminan RM10,000 serta syarat tambahan iaitu lesen memandu tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhamad Mawardi Zainudin memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya berpendapatan RM2,200 dan menanggung bapa berusia 58 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video