SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh tiang elektrik di Jalan Kampung Bujang, Sungai Petani di sini, malam tadi.

Mangsa, Abdul Rahman Abdul Rahim, 25, bekerja sebagai pelayan kedai makan maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata dalam kejadian jam 8.45 malam itu mangsa menunggang bersendirian motosikal jenis Yamaha Lagenda dan sebaik tiba di Jalan Kampung Bujang, keadaan jalan gelap tanpa lampu jalan.

“Siasatan awal polis trafik mendapati mangsa dipercayai menunggang dalam keadaan laju melalui kawasan selekoh tiba-tiba hilang kendalian lalu terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum merempuh tiang elektrik.

“Akibat rempuhan itu mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Zaidy berkata, mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.