KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat supaya memelihara tradisi persefahaman dan toleransi antara kaum yang menjadi kunci kekuatan negara selama ini dengan tidak membenarkan mana-mana pihak mencetuskan api perkauman.

Timbalan perdana menteri berkata tindakan membenarkan api perkauman dicetuskan pastinya akan meruntuhkan keharmonian negara yang telah terbina sejak sekian lama.

"Adalah amat penting kepada semua kaum untuk memelihara perpaduan dan keharmonian yang telah kita kecapi selama ini.

"Malah lebih daripada itu, kita mesti bersama-sama bekerja keras untuk membina gagasan 1Malaysia berdasarkan sikap saling percaya mempercayai dan menjauhi rasa curiga biar pun setitik," katanya dalam perutusan Selamat Tahun Baharu Cina di sini pada Rabu.

Ini kerana, katanya, telah terbukti tidak ada sekatan, jauh sekali larangan kepada kaum-kaum di Malaysia termasuk kaum Tionghua untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing dan seterusnya meraikan perayaann secara besar-besaran.

"Saya percaya toleransi kaum yang menjadi teras kepada keamanan Malaysia sejak dahulu lagi akan dapat dikekalkan jika sikap saling faham-memahami, hormat-menghormati dan membantu antara satu sama lain terus menjadi amalan," kata Muhyiddin.

Mengambil semangat 1Malaysia yang menyemarakkan amalan toleransi antara kaum di negara ini, timbalan perdana menteri berkata perayaan Tahun Baharu Cina menjadi satu lagi bukti betapa rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum memiliki kebebasan untuk mengamalkan adat, budaya dan tradisi kaum masing-masing.

"Sesungguhnya sambutan Tahun Baharu Cina amat bermakna kepada masyarakat Tionghua kerana semangat yang dibawa bersama perayaan ini sering dikaitkan dengan kemakmuran dan kemurahan rezeki yang pasti akan meningkatkan kesejahteraan hidup.

"Malah, Tahun Baharu Cina pada tahun ini yang jatuh pada Tahun Kuda dipercayai oleh kaum Tionghua membawa semangat yang tinggi kepada mereka untuk memajukan diri dalam semua bidang," katanya.

Katanya beliau yakin masyarakat Tionghua seperti mana kaum-kaum lain di negara ini mahu melihat Malaysia terus membangun dan berjaya mencapai Wawasan 2020 sebagai negara maju.

Muhyiddin berkata sebagai kaum kedua terbesar di negara ini, perayaan Tahun Baharu Cina menjadi lebih menyerlah dengan adanya penyertaan kaum lain yang turut memeriahkan kedatangan Tahun Kuda.

Katanya limau dan warna merah menjadi lambang keceriaan dan kemakmuran kepada masyarakat Cina, tetapi tanpa persefahaman dan kesepakatan dengan kaum lain, keceriaan dan kemakmuran itu tidak akan menjadi kenyataan.

"Saya sekali lagi mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua rakyat Malaysia keturunan Tionghua. Semoga negara kita dilimpahi kemakmuran dan keharmonian dengan adanya rakyat yang bersatu hati," katanya.



Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat supaya sentiasa mendukung perpaduan dan keharmonian antara kaum yang dinikmati selama ini.

Semua pihak katanya mempunyai tanggungjawab terhadap negara untuk menolak sebarang bentuk ugutan, keganasan atau tindakan ekstrem yang boleh menggugat keharmonian negara.

Najib membuat seruan itu dalam amanat sempena Tahun Baru Cina di blog 1Malaysia.com.my.