TELUK INTAN: Seorang lelaki hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Rubana, dekat sini ketika keluar memancing bersama abang iparnya dengan menaiki sebuah bot, pada Ahad.

Mangsa dikenali sebagai Wan Azila Abdul Aziz, 27, beralamat di Kampung Sarang Tiong, Mukim Sungai Durian, dekat sini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang pemanggil pada 5.48 petang.

Katanya, maklumat daripada pemanggil memaklumkan mangsa bersama abang iparnya menaiki bot untuk memancing di sungai tersebut.

“Mangsa dipercayai telah terjatuh ketika bot itu cuba mengelak daripada melanggar sampah sarap di sungai.

“Abang ipar mangsa cuba menyelamatkannya tetapi gagal,” katanya dalam kenyataan Ahad malam.

Menurut jurucakap itu, abang ipar mangsa turut dihantar ke hospital oleh orang awam.

Katanya lagi, pihaknya telah membuka Pos Kawalan Bomba (PKB) di lokasi kejadian.

Kerja-kerja pencarian mangsa di kawasan sekitar sungai sedang dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan yang dibantu anggota dari BBP Kampung Gajah dan Unit K9 JBPM.