Pemandu Honda Jazz sebabkan kematian pelajar UniSZA direman empat hari

Suspek yang memakai pakaian lokap ungu tiba di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 9.45 pagi dengan diiringi dua anggota polis. --fotoBERNAMA
KUALA TERENGGANU: Pemandu kereta Honda Jazz yang terlibat kemalangan sehingga mengorbankan seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Jalan Kemajuan, di sini Isnin lepas, direman empat hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 32 tahun dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Yuhanis Mohd Roslan, di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi.
Suspek yang memakai pakaian lokap ungu tiba di mahkamah pada 9.45 pagi dan diiringi dua anggota polis.
Dalam kejadian pada 1.55 tengah hari Isnin lepas, pelajar semester dua Diploma Pascasiswazah Pendidikan, Syakirah Hanan Mazli, 25, maut selepas keretanya Perodua Viva dirempuh Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan.
Kemalangan itu menyebabkan pelajar UniSZA itu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pemandu kereta Honda Jazz terbabit disahkan menghidap Major Depressive Disorder (MDD).
Azli berkata berdasarkan laporan, lelaki berusia 32 tahun itu telah beberapa kali menjalani rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mulai Januari 2025.
Sebelum kejadian, suspek dipercayai memecah masuk sebuah kereta Honda City dan melarikan dompet berisi RM200
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


