KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori lelaki kerugian RM80,580 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, pada 3 Jun lepas mangsa yang berusia 35 tahun telah melihat iklan kerja sambilan dengan pendapatan lumayan di laman sosial Facebook.
Beliau berkata, mangsa yang tertarik telah menghubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.
"Sebagai tugasan, mangsa hanya perlu klik tanda suka pada pautan barangan yang diberikan suspek. Mangsa yang berjaya menyiapkan beberapa tugasan telah menerima sejumlah bayaran, membuatkan dia percaya serta yakin dengan suspek.
"Bagaimanapun, setelah menyiapkan beberapa tugasan seterusnya, suspek meminta mangsa membuat bayaran kononnya sebagai kos pengurusan untuk mengeluarkan keuntungan sebanyak RM400,000 yang bakal diterima mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, mangsa yang terperdaya telah membuat 21 kali bayaran berjumlah RM80,580 ke enam akaun bank berbeza dalam tempoh 11 hingga 22 Jun lepas menggunakan wang pinjaman daripada rakan-rakan.
Namun, sehingga laporan polis dibuat pada 3.28 petang semalam, mangsa masih belum menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan.
"Mangsa menyedari ditipu selepas digesa untuk terus membuat pembayaran oleh suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA