Skip to main content

Malaysia

Pemandu lori tangki didakwa pandu melulu hingga sebabkan kematian dua beranak

TEMERLOH, 18 Ogos -- Pemandu lori tangki Nor Azlan Mahayudin, 37, (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian dua beranak di Kilometer 9 Jalan Temerloh-Triang di sini, Jumaat lepas.  Pengakuan Nor Azlan direkodkan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan. Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 bagi dua pertuduhan itu dan menetapkan sebutan semula kes pada 1 Okt.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Nor Azlan didakwa memandu lori tangki secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Fatima Syuhada Abdullah dan Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam di lokasi itu kira-kira 4 petang 14 Ogos. - Foto BERNAMA
Advertisement

TEMERLOH: Seorang pemandu lori tangki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian dua beranak di Kilometer 9 Jalan Temerloh-Triang, di sini, Jumaat lepas. 

Pengakuan Nor Azlan Mahayudin, 37, direkodkan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan.

Nor Azlan didakwa memandu lori tangki secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam,12, di lokasi itu kira-kira 4 petang 14 Ogos.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amal Razim Alias manakala lelaki itu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Mazieera Sharifudin. 

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 bagi dua pertuduhan itu dan menetapkan sebutan semula kes pada 1 Okt.

Pada Jumaat lepas, Nur Fatima Syuhada dan Muhamad Fattah Aisy Nuafal maut selepas kereta mereka dihempap lori tangki dengan muatan 32,000 liter bahan api. 

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement