Kementerian Pengangkutan bersedia mengkaji dan memperketatkan undang-undang sedia ada, berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk kata Timbalan Menterinya Datuk Kamarudin Jaffar.

Katanya langkah itu dilihat perlu dilakukan, berikutan kekerapan berlakunya nahas membabitkan pemandu mabuk sejak kebelakangan ini.

"Secara umumnya, kementerian pasti akan memberi lebih perhatian kepada kelakuan pemandu, yang mana melibatkan pemandu mabuk alkohol dan dadah.

BACA: Pemandu mabuk perlu dikenakan hukuman yang lebih berat - PDRM

"... dan kita sedia pertimbangkan untuk mengkaji semula undang-undang babitkan pemandu ini, yang mana isu ini telah banyak dibangkitkan (oleh pelbagai pihak)," katanya kepada pemberita selepas melawat Muhammad Anas Mokti yang sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), susulan terlibat nahas di Jalan Kebun di sini, pagi Khamis.

Muhammad Anas, 27, cedera parah selepas motosikal jenis Honda EX5, yang dinaiki bersama rakannya, Muhammad Hazid Mohd Kamil, 27, terbabas ke dalam longkang, selepas dirempuh dari arah hadapan oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Turut dirempuh kenderaan sama pada kejadian 7.20 pagi itu, seorang lagi penunggang motosikal Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Mengulas lanjut mengenai insiden nahas itu, Kamaruddin berkata pihaknya memandang serius insiden yang berlaku itu dan tindakan sewajarnya akan dikenakan ke atas pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut.



"Untuk kes ini, tidak wujud isu pemandu mabuk kerana saringan awal polis menunjukkan, kandungan alkohol pemandu itu berada pada tahap terkawal.

"(Namun) Apa yang boleh kita katakan, pemandu ini memandu dalam keadaan berbahaya dan kita akan memastikan bahawa (kes) pelanggaran seperti ini, diberi perhatian serius supaya dapat memberi pengajaran serta amaran kepada semua pengguna, agar lebih berhati-hati dan berdisplin ketika di jalan raya," katanya.

BACA: Wanita mabuk rempuh pekerja MBPP hingga maut direman

BACA: Penjual kuih maut dirempuh pemandu mabuk, khayal ganja

Dalam pada itu, beliau berkata pihak HTAR turut memberi jaminan akan memberikan rawatan sewajarnya kepada Muhammad Anas yang kini stabil, walaupun patah tulang pinggul dan peha kanan akibat kemalangan tersebut.

Sementara itu, kakak Muhammad Anas, Latifah Mokti, 49, yang ditemui pemberita kemudiannya berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan kejadian yang menimpa adik bongsunya itu.

Beliau berkata Muhammad Anas dan dua lagi mangsa merupakan rakan sekerja dan sentiasa ke tempat kerja di sebuah kilang dekat sini, bersama-sama menaiki motosikal.

"Kawan Anas (Muhammad Anas) menelefon saya kira-kira pukul 8 pagi dan beritahu yang Anas kemalangan. Saya yang ketika itu berada di rumah terkejut mendengar berita tersebut dan bergegas ke HTAR...sepanjang lima tahun Anas membonceng motosikal ditunggang Hazid (Muhammad Hazid) untuk ke kilang (tempat kerja), ini kali pertama mereka kemalangan.

"Bagaimanapun kami sekeluarga bersyukur kerana Anas yang merupakan anak bongsu dari enam beradik ini terselamat," katanya.

-- BERNAMA