Pemandu pelancong Malaysia kongsi momen terkandas bersama ahli rombongan di Hatyai

Rashidah atau lebih dikenali sebagai Cek Era berkata kepada Astro AWANI, sebahagian pelancong memilih untuk berpindah ke hotel yang terletak di kawasan lebih tinggi, manakala ada yang memilih kekal di lokasi asal. - Astro AWANI / Cek Era
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu pelancong rakyat Malaysia, Rashidah Abdul Aziz, yang terkandas dalam insiden banjir di Hatyai, Thailand memaklumkan keadaan di kawasan hotel penginapannya semakin terkawal selepas air mula surut, petang tadi.
Rashidah atau lebih dikenali sebagai Cek Era berkata kepada Astro AWANI, sebahagian pelancong memilih untuk berpindah ke hotel yang terletak di kawasan lebih tinggi, manakala ada yang memilih kekal di lokasi asal.
"Memang cemas sangat bila ingat situasi semalam. Tiada bekalan eletrik di hotel, memang gelap. Semalam kami redah juga air untuk cari makanan alas perut. Dapat makan telur sebiji tetapi saya lebih risaukan keadaan mereka yang ikut serta dalam rombongan saya kali ini.
“Apa pun, Alhamdulillah hari ini air sudah makin surut jam 3 petang tadi. Lebih okay berbanding jam 6 pagi tadi, paras air banjir memang masih tinggi. Syukur petang tadi ada beberapa individu yang datang bantu dan rata-rata adalah mereka dari badan bukan Kerajaan (NGO) dari Malaysia,” katanya.
Rashidah yang menginap di Hotel Regency, Hatyai membawa 10 orang pelancong rakyat Malaysia dalam rombongan kali ini.
Menurutnya lagi, dengan keadaan air yang semakin surut, dia berharap dapat menggerakkan van membawa rombongan keluar pada esok hari.
"Saya berharap sangat paras air lebih surut esok, jadi saya boleh kembali ke van (bawa pelancong) dan lihat keadaan, semoga semua baik-baik sahaja dan kami dapat pulang ke Kuala Lumpur dengan selamat," katanya ringkas.
Sementara itu, dia memberitahu, terdapat beberapa individu yang menawarkan perkhidmatan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan lori untuk membawa pelancong ke lokasi lebih selamat dengan bayaran tertentu.
Petang tadi, sebuah hotel di Hatyai dilapor mengarahkan 42 rakyat Malaysia termasuk kanak-kanak yang terperangkap akibat banjir besar yang melanda selatan Thailand, keluar dari penginapan mereka pagi tadi.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak berkaitan dan bantuan sudah diberikan kepada rakyat Malaysia yang terbabit.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


