SIBU: Seorang pemandu e-panggilan kerugian RM11,600 selepas diperdaya seorang individu yang menyamar sebagai rakan lamanya.

Kejadian berlaku apabila mangsa berusia lingkungan 50-an itu menerima panggilan daripada lelaki berkenaan pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek telah memperkenalkan diri sebagai rakan lama mangsa dan menyatakan telah kehilangan telefon bimbitnya.

Beliau berkata suspek turut meminta bantuan mangsa untuk meminjam wang bagi tujuan membaiki rumah.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa bersetuju untuk memberikan bantuan dan membuat beberapa pindahan wang berjumlah RM11,600 ke satu akaun bank tempatan yang diberikan oleh suspek," kata Zulkipli dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa berasa curiga dan menyedari dirinya telah diperdaya oleh suspek apabila panggilannya ke telefon bimbit itu disekat setelah kesemua pindahan wang itu selesai.

Mangsa kemudian membuat laporan polis pada hari yang sama.

Zulkipli sehubungan itu menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya kepada panggilan atau mesej pinjaman wang yang diterima daripada rakan atau kenalan terutama apabila akaun bank yang digunakan adalah milik individu lain.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan dengan menghubungi rakan atau kenalan berkenaan bagi tujuan pengesahan sebelum membuat apa-apa pindahan wang.

"Rujuk Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan mengikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM atau membuat semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/," katanya.

-- BERNAMA