Pemandu treler yang merempuh sebuah restoran di Dataran Satria, Gemas, di sini, pada Sabtu, adalah positif syabu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Tampin hari ini untuk siasatan lanjut.

"Lelaki itu kini dalam tahanan polis dan ujian saringan yang dibuat terhadap pemandu berusia 25 tahun itu didapati positif syabu.

"Kita akan menyiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sinar Harian online pada Sabtu melaporkan pekerja restoran berkenaan cemas apabila dikejutkan dengan kehadiran sebuah treler yang merempuh bahagian tepi restoran.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, treler yang membawa muatan tanah liat terbabit hilang kawalan lalu merempuh tiang premis yang berhampiran dengan ruang masak roti canai.

Ketika kejadian, treler itu dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan menuju ke Kluang, Johor.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.