KUALA LUMPUR: Kumpulan bekas penjawat awam kanan (G25) menyifatkan langkah memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan menggalakkan budaya pemikiran yang kritis dan bebas di institusi pengajian tinggi (IPT).
G25 dalam kenyataan pada Isnin mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa undang-undang yang akan menggantikan AUKU tidak akan menyekat hak dan kebebasan mahasiswa, sambil menyatakan bahawa pemerkasaan golongan muda perlu bermula di IPT.
“Universiti seharusnya menjadi ruang yang menggalakkan golongan muda Malaysia berfikir secara kritis, bertukar-tukar pandangan, mempersoalkan pandangan sedia ada dan mengambil bahagian secara bertanggungjawab dalam urusan negara,” menurut kenyataan itu.
G25 memaklumkan pemansuhan undang-undang lapuk itu memberikan peluang penting untuk mewujudkan hubungan yang berbeza secara asas antara universiti, mahasiswa dan kerajaan, sambil menambah bahawa mana-mana undang-undang baharu perlu berpandukan prinsip kebebasan akademik, autonomi institusi serta kebebasan bersuara dan berpersatuan.
“Kami berharap proses penggubalan undang-undang pengganti akan dilaksanakan secara telus serta melalui rundingan menyeluruh dengan mahasiswa, ahli akademik, pentadbir universiti, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, G25 turut mengalu-alukan cadangan Perdana Menteri untuk memperkenalkan undang-undang baharu bagi mengawal selia syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sambil menyatakan bahawa entiti berkenaan menguruskan sumber awam yang besar dan memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia.
Kumpulan itu memaklumkan undang-undang yang dicadangkan perlu memberikan definisi yang jelas mengenai GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), selain menetapkan kriteria pelantikan pengerusi dan pengarah yang telus serta berasaskan merit.
Menurut kenyataan itu, undang-undang berkenaan juga perlu merangkumi pendedahan yang sewajarnya mengenai pelantikan dan kelayakan, perlindungan daripada naungan politik serta konflik kepentingan, selain menetapkan piawaian yang jelas berhubung tanggungjawab dan kebebasan lembaga pengarah.
“Undang-undang itu juga perlu memperkukuh ketelusan dalam perolehan dan urus niaga pihak berkaitan, menyediakan mekanisme yang wajar bagi penelitian Parlimen, serta memastikan pelaporan, pengauditan dan pendedahan awam yang kukuh antaranya berhubung penggunaan dan prestasi aset awam.
“GLC bertujuan memainkan peranan kreatif dalam pembangunan korporat supaya dalam melaksanakan tanggungjawab sosial tertentu, aktiviti mereka harus menambah kekayaan negara,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa AUKU akan dimansuhkan bagi memberikan kebebasan dan ruang demokrasi yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa, selain mencadangkan pengenalan undang-undang baharu bagi mengawal selia GLC.
-- BERNAMA