KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu kedai alat ganti kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya pada 5 Sept lepas.
Wan Noorazmilrullah Wan Noorabiddin, 37, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, Wan Noorazmilrullah didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya di sebuah rumah di Desa Mutiara, Jalan Gong Badak, Kuala Terengganu kira-kira 7 malam, 5 Sept lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan bagi kesalahan berkenaan.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Mahkamah menetapkan 8 Okt depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Jawahir Mohd Zulmajdi.
-- BERNAMA