BATU PAHAT: Seorang pembantu kedai telefon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) Februari lepas.

Lim Guan Yan, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada kira-kira pukul 7 pagi di Batu 21 Jalan Muar-Parit Sulong pada 27 Feb lepas, yang menyebabkan kematian Mohd Riduan Abdullah, 58.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 133), yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Tan Song Yan.

Mahkamah yang menetapkan 20 Jun untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam, membenarkan Lim yang tinggal di Muar diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di Balai Polis Muar setiap bulan.

-- BERNAMA