MALAYSIA
Pembenihan awan di kawasan sawah kering - Mohamad

Keputusan itu dibuat berikutan terdapat kebimbangan dalam kalangan pesawah di Kerian, Perak selepas sumber air di kawasan Tasik Kolam Bukit Merah semakin surut berikutan cuaca panas. - Gambar fail
PASIR SALAK: Proses pembenihan awan akan dilaksanakan di lokasi yang terlibat bagi menangani masalah sawah kering akibat cuaca panas, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan terdapat kebimbangan dalam kalangan pesawah di Kerian, Perak selepas sumber air di kawasan Tasik Kolam Bukit Merah semakin surut berikutan cuaca panas.
"Pembenihan awan ini kita usahakan, pembenihan awan dulu pun kita buat tetapi kita lihatlah... walau bagaimanapun soal takungan air itu cukup penting.
"Sebab itu ada projek pemindahan air mentah bernilai bilion ringgit di Lembah Kerian. Kita sedang usahakan projek ini untuk mengatasi masalah air di Lembah Kerian dan juga Selatan Seberang Perai," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Cleafield Baharu MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi Felcra Berhad di sini hari.
Mohamad juga berkata perancangan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah bagi meningkatkan keupayaan penyaluran air untuk tujuan pertanian ke kawasan Kerian kini berada pada peringkat pelaksanaan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
"Program itu berada di peringkat pelaksanaan dengan SPAN yang dijangka boleh bermula pada bulan lapan. Insya-Allah, projek ini kita ikut SPAN kerana ia adalah di bawah mereka," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata penambahan kuota bekalan beras kepada pengilang akan diberi berdasarkan keupayaan sesebuah kilang dalam menghasilkan makanan utama negara itu.
"Dia kuota ini (bergantung) kepada keupayaan. Kita lihat kalau bumiputera itu kilangnya ada keupayaan, kita akan berusaha membantu.
"Kalau dia tiada keupayaan langsung, itu memang agak sukarlah. Kita tak boleh bergantung soal kuota semata-mata, kena lihat kuota dan keupayaan. Itu yang paling penting dan kerajaan sentiasa membantu," katanya.
Pada Rabu lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata pihaknya memohon kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menambah kuota bekalan pengeluaran beras khususnya bagi pengilang bumiputera.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan pengilang besar dan kecil dapat bekerjasama dalam memulihkan industri beras serta menjamin keterjaminan makanan negara.
-- BERNAMA
Dapatkan tip menghadapi cuaca panas dan info empangan di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami