NATIONAL
Pembinaan RTB Sungai Pinang dijangka siap suku ketiga 2027 - Chow

Chow selepas meninjau kerja pembinaan struktur dua komponen utama RTB Sungai Pinang iaitu piano weir dan longkang monsun di Kampung Jawa hari ini. - Gambar Facebook Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN: Pembinaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang di sini dijangka dapat disiapkan pada suku ketiga 2027.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek berkenaan ketika ini menepati jadual pelaksanaan dengan mencapai kemajuan 24 peratus.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial selepas meninjau kerja pembinaan struktur dua komponen utama RTB Sungai Pinang iaitu piano weir dan longkang monsun di Kampung Jawa di sini hari ini.
Menurut Chow pembinaan komponen berkaitan adalah bermula dari jambatan Jalan Jelutong dan berakhir di penghujung jambatan di Jalan Perak."Dengan siapnya komponen berkaitan, banjir atau limpahan air sungai dapat dielakkan di sebahagian kawasan hilir manakala kualiti air ditingkatkan ekoran air dari longkang akan terus disalurkan ke bahagian hilir dan impak air pasang dapat dikurangkan," katanya.
Kerajaan negeri sebelum ini memaklumkan RTB Sungai Pinang merupakan rancangan tebatan banjir terbesar di Pulau Pinang yang akan memberi kesan positif berhubung masalah banjir bukan sahaja di kawasan Sungai Pinang malah turut melibatkan lokasi berhampiran termasuk bandar raya George Town.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami