MELAKA: Pembukaan semula operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam selepas tiga tahun ditutup akibat COVID-19, bakal merancakkan lagi kemasukan pelancong ke negeri ini menerusi laluan udara.

Exco Pelancongan Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata penerbangan sulung dari Pulau Pinang dan Pekan Baru, Indonesia menerusi pesawat Batik Air turut dilihat sebagai 'pintu' dalam menaikkan kembali Melaka sebagai antara destinasi pelancongan utama negara ini.

"Kerajaan negeri turut menyasarkan penerbangan terus dari India melalui Kochi dan Madhya Pradesh, selain China di Guangzhou dan Hainan ke Melaka, selepas pihak negara tersebut ada menghantar wakil-wakil mereka ke negeri ini untuk perbincangan seterusnya dan kita berharap hasrat itu dapat direalisasikan.

"Ini juga antara usaha kita untuk meneroka lebih banyak pasaran baharu seperti pelancong dari India dan Brunei untuk mengurangkan kebergantungan menarik pelancong dari negara Asia Timur seperti China, Jepun dan Taiwan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyambut ketibaan kumpulan pelancong dari Pulau Pinang iaitu seramai 38 penumpang pesawat ATR-72 Syarikat Batik Air di LTAM.

Turut hadir Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman.

Muhammad Jailani berkata kerajaan negeri juga telah mengadakan perbincangan secara proaktif dan berterusan dengan pelbagai pihak di peringkat pusat dan antarabangsa, bagi memastikan LTAM dapat beroperasi semula selepas pintu sempadan negara dibuka 1 April lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga Jun lepas kemasukan pelancong ke Melaka mencatatkan seramai 2.4 juta orang dengan peningkatan 1.7 juta orang, atau lebih 200 peratus, berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Kerajaan negeri telah merancang pelbagai aktiviti dan promosi menarik dan ia dilihat mampu mencapai sasaran kemasukan 5.6 juta pelancong ke Melaka sehingga hujung tahun ini," katanya.

-- BERNAMA