KUALA LUMPUR:Pemergian Allahyarham Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid pada Selasa cukup dirasai ramai pihak.

Allahyarham bukan hanya tokoh pendidikan malah beliau juga merupakan tokoh ekonomi dan kewangan.

Sumbangan dan jasa Allahyarham bukan hanya untuk diri sendiri atau institusi bahkan negara secara amnya.

BACA: Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz meninggal dunia

Atas sebab itu, ramai yang menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan pemergian tokoh penting di sebalik penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) itu.

Antaranya, bekas Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi catatan di Twitter beliau.



"Pemergian ahli pendidikan-intelektual & bekas VC Univ Malaya yang paling terkenal, Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, memang merupakan Hari yang sangat menyedihkan," tulis beliau.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula menerusi catatan di Facebook beliau menyatakan Allahyarham banyak menyumbang kepada negara dan segenap lapisan masyarakat.

 
Sumber Facebook najibrazak

"Bukan sahaja di sektor pendidikan dan akademik malah pembangunan sosio ekonomi kita," tulis Ahli Parlimen Pekan itu.

Menurut bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz pula memberitahu, Allahyarham telah menyalakan minat beliau terhadap isu dan masaalah ekonomi negara dan masyarakat.

"Beliau sangat prihatin mencari langkah dan dasar yang mempu meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat luar bandar yang terkongkong oleh sistem dan struktur yang mengikat mereka kapada pihak-pihak yang berfungsi sebagai orang tengah dalam pasaran," katanya.

 
Sumber Facebook Tansrirafidah

Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

 
Sumber Facebook syedsaddiqofficial

"Salam takziah buat keluarga Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz di atas pemergiannya petang tadi.

"Allahyarham juga merupakan seorang tokoh negarawan yang sangat disegani di dalam dan juga luar negara," katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengorbanan dan tunjuk ajar Allahyarham sewaktu berada di Universiti Malaya akan sentiasa tersemat utuh dalam jiwanya.

"Saya yakin sumbangan besar beliau kepada bangsa akan dikenang rakyat dan negara. Pengorbanan dan tunjuk ajar sewaktu berada di Universiti Malaya juga akan sentiasa tersemat utuh dalam jiwa saya," katanya.

 
Sumber Facebook anwaribrahim.keadilan

Dalam pada itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri  Mohamed Azmin Ali mendoakan agar pemergian Allahyarham Prof Diraja Ungku Aziz dicucuri rahmat.

"Saya berdoa semoga allahyarham dicucuri rahmat dan maghfirah oleh Allah SWT dan mendapat husnul khotimah. Takziah kepada keluarga Allahyarham," tulis beliau di Facebooknya.

 
Sumber Facebook MohamedAzminAli
 
Bagi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pula menyifatkan apabila Allahyarham meninggal dunia secara tidak langsung negara kehilangan ilmuwan ulung yang tidak terganti.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz yang telah pulang ke rahmatullah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman," tulis beliau.

 
Sumber Facebook saifuddin61