Para sukarelawan dari 16 badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memantau perjalanan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) perlu bersikap adil dan bebas dari sebarang kaitan dengan mana-mana parti politik yang bertanding.

Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), salah sebuah NGO yang dilantik sebagai pemerhati, Wan Saiful Wan Jan berkata dari 450 hingga 500 permohonan untuk menjadi sukarelawan dengan NGO itu, hanya 325 orang sahaja yang telah dipilih.

“Untuk menjadi pemerhati pilihan raya kelolaan IDEAS, kita perlu mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri agar mereka sentiasa adil dalam membuat penilaian,” kata Wan Saiful ketika berbicara dalam program Agenda Awani terbitan Astro Awani pada Selasa.

Tambah Wan Saiful, antara syarat-syarat tersebut adalah sukarelawan bukan seorang yang telah disabitkan kesalahan di mahkamah, bukan seorang yang muflis yang telah dilepaskan, bukan seorang yang berjawatan atau bergerak aktif dengan mana-mana parti politik dan dapat bekerjasama dan mengamalkan sikap berkecuali.

“Itu adalah antara syarat yang ditentukan oleh SPR namun begitu, kita (IDEAS) ada menambah satu lagi syarat untuk memastikan syarat itu ketat iaitu tidak boleh menjadi ejen ataupun mana-mana wakil parti politik dalam pilihan raya yang akan datang,” beliau berkata.

IDEAS menurutnya membuat tapisan dengan rapi termasuk menyelidik setiap latar belakang para pemerhati yang dipilih itu.

“Kita melihat adakah dia menjadi ahli mana-mana parti politik atau ‘alat’ mana-mana parti politik dan bermacam-macam lagi. Jadi hasil daripada tapisan tersebut kita yakin 325 orang yang dipilih dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Katanya lagi, kriteria ini diperlukan agar data laporan analisa dari PRU13 itu nanti akan bersifat bebas.