Penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dilaporkan tewas di Wilayah Persekutuan pada pemilihan pimpinan PKR 2014-2017 yang berlangsung Ahad lepas.

Azmin dilaporkan hanya memperolehi 206 (13%) undi manakala Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendapat 678 (44%) sementara Datuk Saifuddin Nasution Ismail di tempat kedua dengan 651 (42%) undi.

Selain di Wilayah Persekutuan, Azmin juga difahamkan tidak berjaya mengatasi Abdul Khalid di Negeri Sembilan.

Azmin dikatakan mendapat 595 undi atau 44 peratus undi di Negeri Sembilan manakala Abdul Khalid memperolehi 695 (51%) undi, Saifuddin mendapat 57 (5%) undi.

Di dua negeri tersebut, tidak ada Cabang yang dibatalkan pemilihannya dan dikatakan keputusan penuh sudah diperolehi.

Azmin juga dilaporkan tewas di Selangor, dimana beliau dikatakan hanya memperolehi 2,385 (40%) undi berbanding Abdul Khalid berjaya mendapat 3,262 (54%) undi sementara Saifuddin memperolehi 324 (6%) undi.

Terdapat 12 Cabang di Selangor yang terpaksa mengadakan semula pemilihan mereka akibat berlaku kekecohan atas dakwaan membeli undi dan penipuan undi pada Ahad.

Biarpun di Selangor terdapat Cabang yang dibatalkan dan terpaksa membuat pemilihan semula, namun pasukan Abdul Khalid yakin PKR akan mendapat timbalan presiden yang baharu sebaik semua pemilihan selesai dilakukan.

Selain tewas kepada Abdul Khalid, Azmin juga dilaporkan gagal mengatasi Saifuddin di Pulau Pinang, Kedah dan Pahang.

Di Pulau Pinang, Azmin dikatakan mendapat 1,316 (36%) undi berbanding Saifuddin yang mendapat 1,758 (48%) undi manakala Abdul Khalid mendapat 595 (16%) undi.

Selain itu, Saifuddin dilaporkan turut mengatasi Azmin di Kedah biarpun Cabang Pokok Sena terpaksa membuat semula pemilihan mereka.

Difahamkan di Kedah, Saifuddin mendapat 1,161 (50%) undi berbanding Azmin yang mendapat 676 (29%) undi manakala Abdul Khalid memperolehi 500 (21%) undi.

Saifuddin juga dikatakan menang di Pahang dengan memperolehi 546 (50%) undi manakala Azmin dan Abdul Khalid masing-masing dilaporkan mendapat 393 (37%) dan 144 (13%) undi.

Di negeri-negeri lain, Azmin mengatasi dua pencabarnya biarpun terdapat Cabang-Cabang yang dibatalkan pemilihannya.