KAPAR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) perlu jujur dan ikhlas ketika menentukan prosedur operasi standard (SOP) untuk Pemilihan UMNO yang dijangka berlangsung tahun ini.

Ketua UMNO Bahagian Kapar, Mohd Roslee Abd Hamid berkata, pada masa ini UMNO hanya menunggu SOP daripada pihak berkenaan sebelum menjalankan pemilihan.

Tegasnya, ramai ahli UMNO berharap pemilihan dapat diadakan pada tahun ini juga dan mereka akan patuh dengan peraturan ditetapkan RoS dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita tunggu RoS ini, kita harap ROS jujur, ikhlas dan tidak berat sebelah supaya SOP yang dibentuk ini dikemukakan berlandaskan kepada keadaan COVID-19 tanpa ada prejudis atau benda-benda yang tersirat.

“Harap RoS dan MKN jujur, kalau UMNO mcm ini (SOP ditetapkan), parti lain pun macam itu juga,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambah beliau, UMNO sudah menghantar surat kepada pihak berkaitan untuk mendapatkan nasihat dan selepas SOP dikeluarkan pihak berwjib SOP, barulah pemilihan boleh dijalankan.

“Kita tetap nak adakan pemilihan tahun ini, kalau boleh dengan SOP ditetapkan, kita akan patuh.

“Tapi kalau soal korum, kita ada jumlah minima korum kalau nak adakan mesyuarat,” ujarnya.

Untuk rekod, DAP akan mengadakan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada Jun tahun ini meskipun kes COVID-19 masih belum reda.

Dalam pada itu, MOhd Roslee berkata, pemilihan UMNO pada tahun ini amat penting untuk memberi peluang ahli-ahli memilih calon Presiden terbaik untuk mengemudi parti seterusnya memastikan kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, sekiranya ahli-ahli tetap memilih Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus menerajui parti, maka semua pihak perlu akur kehendak akar umbi.

"Kalau ahli UMNO hendak Presiden baharu, mungkin ada pertukaran Presiden dalam pemilihan. Apa yang mustahak UMNO mahukan satu kepimpinan yang boleh membawa kejayaan UMNO dalam PRU-15," tegasnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, UMNO perlu mengadakan pemilihan parti seperti dijadual pada Jun.

Menurutnya, sekiranya pemilihan parti ditangguh, ia hanya akan menyebabkan krisis kepimpinan yang dialami UMNO berterusan.

Baru-baru ini, selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pemilihan UMNO akan diadakan tahun ini tertakluk kepada garis panduan yang akan dikeluarkan oleh RoS, MKN.