Skip to main content

Malaysia

Pemilik kilang melecur ketika cuba padam kebakaran

TB_Kilang Butterworth Terbakar_JBPM.jpg
Kebakaran turut memusnahkan dua motosikal sebanyak 50 peratus, manakala sebuah lori dan forklift masing-masing mengalami kemusnahan kira-kira 90 peratus. - Gambar ihsan JBPM
Advertisement

BUTTERWORTH: Seorang lelaki melecur pada leher dan tangan ketika cuba memadam kebakaran kilang memproses fabrik miliknya di Jalan Bagan Ajam, di sini, petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa, H’ng Seng Peng, 58, mengalami kelecuran tahap satu dan diberi rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, sebanyak 26 anggota bersama-sama enam jentera dari tujuh balai digerakkan ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.09 petang.

“Kebakaran melibatkan sebuah kilang jenis separuh kekal yang menjalankan operasi memproses fabrik bagi kegunaan sofa berkeluasan 60x100 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus.

“Kebakaran turut memusnahkan dua motosikal sebanyak 50 peratus, manakala sebuah lori dan forklift masing-masing mengalami kemusnahan kira-kira 90 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

John berkata, kebakaran berjaya dikawal pada 6.28 petang sebelum operasi pemadaman diteruskan menggunakan kaedah ofensif dan defensif, teknik fire break, menggunakan buih serta dengan bantuan sebuah jengkaut milik syarikat swasta bagi membuka ruang untuk anggota melakukan serangan terus terhadap kebakaran.

Beliau berkata, pasukan operasi mengambil masa lebih 10 jam untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya pada 4.35 pagi tadi dan tamat sepenuhnya pada 6.59 pagi, dengan kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan lanjut.

Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Puyu, Raja Uda, Bagan Ajam, Kepala Batas, Sungai Petani, Machang Bubok dan Kampung Selamat, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

– BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement