SUNGAI PETANI: Seorang pemilik warung makanan di Jalan Lencongan Timur, di sini cedera parah pada perut akibat ditikam seorang lelaki yang cuba mencuri beberapa tin sardin dan telur masin di premisnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6 pagi ketika mangsa berusia 59 tahun tiba di warungnya untuk memulakan perniagaan.

Beliau berkata, ketika itu mangsa mendapati sebuah motosikal diparkir di tepi jalan utama berhadapan dengan warungnya.

"Mangsa kemudian masuk ke dalam warung dan mendapati seorang lelaki  tidak dikenali berada dalam warungnya sedang memegang beberapa tin sardin dan telur masin.

"Mangsa bertindak menegur suspek menyebabkan lelaki itu berlari ke arah motosikalnya dengan membawa barang-barang yang dicuri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, mangsa kemudian mengejar suspek sehingga ke motosikal dan sempat mengambil kunci motosikal sebelum berlaku pergelutan.

"Ketika pergelutan, suspek dipercayai melibas objek dipercayai pisau ke arah perut dan kaki mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian.

"Mangsa sempat masuk semula ke bahagian dapur, mengambil kain untuk balut kecederaan di perut dan duduk di dalam keretanya sehingga ditemui oleh pekerjanya yang datang kira-kira jam 6.45 pagi.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani untuk menerima rawatan dan hasil pemeriksaan, doktor memaklumkan mangsa mengalami luka yang dalam di bahagian perut sebelah kiri dan di betis bahagian kiri," katanya.

Adzli berkata, mangsa yang dalam keadaan stabil kini ditempatkan di wad hospital berkenaan untuk rawatan selajutnnya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai sudah lima tahun menjalankan perniagaan gulai itik di warung miliknya itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.