Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pemimpin politik ucap takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah

Sumber: Astro AWANI
Beberapa pemimpin politik merakamkan ucapan takziah serta menzahirkan rasa duka cita atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun. -Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin politik merakamkan ucapan takziah serta menzahirkan rasa duka cita atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengucapkan takziah kepada Dr Mahathir sekeluarga menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh wanita terbilang dan ikon negara yang sentiasa merendah diri.

"Saya dan keluarga mengucapkan salam takziah yang setulusnya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga atas pemergian insan yang amat dikasihi, Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali, ke rahmatullah pagi ini," katanya menerusi Facebook hari ini.

Muhyiddin turut mendoakan agar Dr Mahathir dan keluarga diberi kekuatan serta ketabahan menghadapi kehilangan besar itu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga Dr Mahathir.

Beliau berkata selain menjadi wanita pertama di Malaysia yang berkhidmat sebagai pegawai perubatan kerajaan, Allahyarham juga melaksanakan peranan penting dalam memartabatkan wanita negara.

Katanya anggota Pas khususnya dan seluruh warganegara umumnya turut merasa kehilangan seorang tokoh wanita negara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan rasa sedih yang mendalam sambil mengenang pertemuan terakhirnya bersama-sama Allahyarham.

“Tiada sedikit pun pada hari itu terasa seperti sebuah perpisahan. Kalaulah saya tahu itu pertemuan terakhir kita, pasti saya amat menginginkan rangkaian waktu dua jam itu tidak pernah berakhir,” katanya.

Syed Saddiq turut mengucapkan terima kasih atas segala ingatan dan nasihat kehidupan yang diberikan Allahyarham kepada beliau dan tunangnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah atau Bella Astillah.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement