Skip to main content

Malaysia

Pempengaruh permotoran antara 8 direman kes 'tutup' lebuh raya demi lumba haram

https://www.sinarharian.com.my/article/793250/berita/semasa/pempengaruh-permotoran-antara-8-direman-kes-tutup-lebuh-raya-demi-lumba-haram
Lapan individu suspek dalam siasatan kes menutup jalan untuk berlumba haram di Lebuhraya LinKedua tiba di Mahkamah Majistret Kulai menaiki trak polis jam 8.30 pagi hari ini. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KULAI: Seorang pempengaruh permotoran antara lapan individu yang direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung tindakan menutup jalan untuk berlumba haram di Kilometer 33 hingga hingga Kilometer 31 Lebuhraya LinKedua, di sini pada Sabtu.

Perintah reman bermula hari ini hingga Khamis ini dikeluarkan Majistret, R. Salini selepas permohonan dibuat polis mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Sebelum itu, mereka tiba di Mahkamah Majistret Kulai menaiki trak polis jam 8.30 pagi.

Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kesemua suspek berusia 26 hingga 45 tahun ditahan 11.54 pagi pada Ahad oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Semua suspek itu bagaimanapun negatif ujian saringan dadah.

Video tular di media sosial pada petang Sabtu, memaparkan dua motosikal yang nombor pendaftaran dan jenisnya tidak dapat dikenal pasti, bersaing sesama sendiri dari Kilometer (KM) 33, susur Tol Senai Utara hingga KM31, susur Johor Premium Outlet (JPO).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, polis juga sedang mengesan individu lain yang dipercayai berada di lokasi kejadian dan menyaksikan perbuatan tersebut dari tepi lebuh raya.

Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement