MALAYSIA
Pemuda Pas Selangor desak kerajaan tolak pelantikan Nick Adams

MOHAMED SUKRI: Nick Adams bukan sekadar tokoh kontroversi. Dia secara terbuka menyebar kebencian terhadap Islam dan menyokong rejim penjajah Zionis tanpa pertimbangan. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Pemuda Pas Selangor mendesak kerajaan Malaysia agar menolak pelantikan tokoh konservatif Amerika Syarikat, Nick Adams sebagai Duta Besar negara itu ke Malaysia, dengan menyifatkan langkah itu sebagai cubaan membawa masuk ideologi ekstrem dan Islamofobia ke dalam negara ini.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, kerajaan menerusi Wisma Putra perlu mengambil pendirian tegas dan jelas terhadap pencalonan itu demi menjaga sensitiviti rakyat serta mempertahankan maruah negara yang konsisten dalam memperjuangkan isu kemanusiaan, khususnya Palestin.
“Nick Adams bukan sekadar tokoh kontroversi. Beliau secara terbuka menyebar kebencian terhadap Islam dan menyokong rejim penjajah Zionis tanpa pertimbangan.
“Beliau pernah mendedahkan bahawa dia menekan sebuah restoran di Amerika Syarikat untuk memecat seorang pelayan wanita hanya kerana memakai pin ‘Free Palestine’."Ini satu tindakan tidak berperikemanusiaan yang menunjukkan sikap ekstrem dan penuh kebencian terhadap perjuangan rakyat Palestin yang tertindas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau menegaskan, Malaysia sebagai negara majoriti umat Islam yang menjunjung prinsip keadilan dan solidariti terhadap rakyat tertindas, tidak memerlukan wakil diplomatik yang membawa ideologi pelampau dan pro-Zionis.
“Pelantikan ini merupakan satu penghinaan terhadap sensitiviti rakyat Malaysia.
"Jika kerajaan berdiam diri atau menerima pelantikan ini, ia akan dilihat sebagai mengkhianati pendirian rakyat yang tegas menyokong perjuangan Palestin.
“Ini bukan sekadar isu diplomatik, tetapi soal prinsip, maruah dan pendirian negara terhadap isu kemanusiaan,” katanya.
Menurutnya, Malaysia mempunyai hak mutlak berdasarkan Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik untuk menolak mana-mana calon duta yang dianggap tidak sesuai atau membahayakan keharmonian domestik.
Tambah beliau, tindakan tegas perlu diambil bagi mempertahankan imej dan pendirian negara serta menolak sebarang usaha menyebarkan fahaman ekstrem pro-Zionis di tanah air.
“Pemuda Pas Selangor berdiri teguh bersama rakyat Malaysia menolak unsur Islamofobia, kezaliman dan ketidakadilan.
“Pelantikan Nick Adams sebagai Duta AS ke Malaysia adalah satu bentuk provokasi terhadap pendirian bersejarah negara dalam isu Palestin.
“Kami mendesak kerajaan menggunakan kuasa yang ada untuk menolak pencalonan beliau serta memberi mesej jelas bahawa Malaysia tidak akan menjadi pentas normalisasi kezaliman Zionis atau medan eksperimen pelampau Islamofobia,” tegasnya.
Katanya lagi, Malaysia bukan medan eksperimen untuk duta pro-Zionis dan perlu mempertahankan maruah negara. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami