MALAYSIA
Penagih 40 tahun terjerat dadah antara 128 individu ditahan dalam Op Perdana AADK

Ruslin (lima, kanan) melihat antara penagih yang berjaya ditangkap di sekitar Kuala Lumpur ketika hadir pada Operasi Perdana yang dijalankan serentak di sekitar Kuala Lumpur dan Labuan, 20 Ogos 2025. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 61 tahun yang lebih 40 tahun bergelumang dengan penyalahgunaan dadah, antara 128 individu ditahan dalam Op Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dijalankan serentak di sekitar ibu negara dan Labuan, bermula malam tadi.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata lelaki berkenaan yang bekerja sebagai buruh kontrak, mempunyai sejarah lebih 10 kali keluar masuk penjara dan dikenakan enam sebatan atas kesalahan berkaitan dadah sejak muda.
"Dia sudah berumah tangga dan keluarganya tinggal di Kota Bharu, Kelantan. Malah, ketika ditahan dia juga menghidap penyakit kencing manis tetapi masih meneruskan tabiat penagihan," katanya.
Ruslin berkata kes itu menggambarkan cabaran besar pihak berkuasa dalam menangani penagih tegar yang sudah bergantung kepada dadah sejak puluhan tahun, meskipun pelbagai usaha rawatan dan pemulihan telah dijalankan.Beliau berkata operasi di sekitar ibu negara itu membabitkan 23 pegawai serta 54 anggota menumpukan kawasan tumpuan penagih di bandar raya, termasuk tapak pembinaan terbiar di Jalan Imbi dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran.
"Seramai 112 orang ditahan di Kuala Lumpur manakala 16 lagi di Labuan. Hasil saringan awal mendapati 77 individu positif syabu, lapan positif ganja, lima positif benzodiazepine manakala selebihnya heroin," katanya pada sidang media selepas meninjau operasi itu, semalam.
Ruslin berkata mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 61 tahun, terdiri daripada 123 lelaki serta lima wanita, kesemuanya warga tempatan dan sebahagian penagih heroin yang ditahan merupakan 'otai' berusia 40 hingga 60 tahun yang sudah bergantung kepada dadah sejak puluhan tahun.
"Berdasarkan risikan, port penagihan di kawasan Jalan Imbi di sini dikenal pasti aktif bermula 6 hingga 10 pagi dan 5 hingga 7 petang. Ada yang baru mencuba, ada yang sudah ketagih lama dan keluar masuk pusat pemulihan," katanya.
Beliau berkata di bawah pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang akan dikuatkuasakan tahun ini, mereka yang salah guna dadah secara sosial seperti di kelab malam atau konsert juga boleh dikenakan tindakan dan diperintahkan menjalani rawatan.
"Peluang diberikan kepada mereka yang mahu berubah untuk mendapatkan rawatan di pusat komuniti, manakala yang masih tegar akan dikenakan perintah tahanan dua tahun di pusat pemulihan," katanya.
Ruslin berkata permohonan reman 14 hari ke atas semua tangkapan akan dibuat hari ini bagi proses siasatan lanjut termasuk ujian pengesahan makmal.
Beliau menegaskan bahawa operasi seumpama itu akan dilaksanakan secara berterusan di seluruh negara sehingga hujung tahun ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami