KUALA LUMPUR: Inisiatif untuk mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan yang diterajui Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR), akan menjadi pemangkin peningkatan produktiviti dan daya saing negara sekali gus mengukuhkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Zahid Ismail berkata, kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Global meningkat lima anak tangga di kedudukan ke-27 pada tahun ini daripada kedudukan ke-32 tahun lepas.

"Prestasi ini diperoleh daripada penambahbaikan beberapa subfaktor termasuk kesihatan dan alam sekitar dengan Malaysia berada di kedudukan ke-42 pada 2023 berbanding ke-44 pada 2022," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut MPC, Buku Tahunan Daya Saing Dunia (WCY) terbitan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD), merupakan laporan tahunan komprehensif tentang daya saing negara berdasarkan penyelidikan yang meluas memandangkan ia menganalisis dan menyusun kedudukan negara mengikut cara mengurus kecekapan untuk mencapai penciptaan nilai jangka panjang.

"Menerusi subsektor kesihatan dan alam sekitar, prestasi kita dalam penunjuk infrastruktur kesihatan berada di kedudukan ke-23 pada tahun ini berbanding ke-28 pada tahun sebelumnya. Sehubungan itu, inisiatif STAR untuk mengurangkan kesesakan (di hospital kerajaan) adalah intervensi yang tepat pada masanya untuk mengekalkan momentum yang baik bagi meningkatkan infrastruktur kesihatan negara, menyumbang kepada prestasi Malaysia yang lebih baik dalam laporan berkenaan," katanya.

Sementara itu, peneraju penjagaan kesihatan swasta, Datuk Dr Jacob Thomas menyokong inisiatif berkenaan demi kebaikan rakyat khususnya pesakit kerana inisiatif itu diharap mampu menjadi pemangkin pelaksanaan Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia.

Antara langkah yang dipersetuju dan sedang dilaksanakan berkaitan PPP menerusi inisiatif berkenaan ialah menubuhkan pasukan petugas di peringkat daerah dan Skim Perubatan MADANI, selain langkah lain seperti melanjutkan waktu operasi di klinik kesihatan serta memperluas perkhidmatan klinik maya.

"Menerusi Skim Perubatan MADANI dan pasukan petugas, pesakit boleh dipindahkan secara secara sistematik dari hospital dan klinik awam ke swasta, berperanan sebagai langkah yang lebih mampan untuk menangani isu yang berlarutan ini.

"Skim Perubatan MADANI turut meningkatkan subsektor penjagaan kesihatan swasta kerana sumber dan peralatan sedia ada boleh dikongsi dan digunakan oleh lebih ramai pesakit kelak," katanya.

STAR ditubuhkan bagi menambah baik pelbagai perkhidmatan kerajaan termasuk kesesakan di hospital kerajaan dengan menganalisis keperluan dan menangani kerenah birokrasi.

Inisiatif berkenaan menunjukkan komitmen padu kerajaan dalam mengambil pendekatan proaktif ke arah menambah baik sistem penyampaian penjagaan kesihatan, yang akan memberi kesan positif kepada produktiviti dan daya saing negara.

-- BERNAMA