KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah 100 peratus berjaya melaksanakan empat inisiatif digariskan sejajar dengan Program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari Pertama Ahli Jemaah Menteri selepas pembentukan Kabinet, 27 Ogos lalu.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, semua inisiatif yang dilaksana mempunyai impak langsung kepada rakyat dari segi kualiti dan keselamatan pembinaan selaras motto KKR, iaitu ‘Ke Arah Kesejahteraan Rakyat’ membabitkan peruntukan sebanyak RM4.28 bilion.

“AKM yang pertama ialah mempercepatkan pengeluaran surat setuju terima (SST). Sebanyak 130 daripada 120 SST yang disasarkan berjaya dikeluarkan dalam tempoh 81 hari di seluruh negara.

“Penyerahannya adalah mengikut negeri, iaitu Perlis sebanyak enam SST, Kedah (11); Pulau Pinang (6); Perak (11); Selangor (13); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (9); Negeri Sembilan (9); Melaka (6); Johor (9); Pahang (10); Terengganu (12); Kelantan (11); Sarawak (7); Sabah (7) dan Wilayah Persekutuan Labuan (3),” katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Dalam pada itu, tambah Fadillah, AKM kedua ialah keselamatan tapak pembinaan agar keselamatan dan kesihatan pekerja tapak bina dan orang awam dapat dijaga serta meningkatkan kepercayaan akan keprihatinan KKR.

“Antaranya, memperkenalkan peraturan baharu dan mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Dasar KKR bagi menguatkuasakan Standard Industri Pembinaan (CIS) serta garis panduan prosedur kerja selamat untuk kerja-kerja pembinaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Manakala, AKM ketiga menyaksikan sebanyak 15,973 jalan berlubang (potholes) di jalan-jalan persekutuan bagi Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan disenggara bermula 1 September hingga 30 November 2021 dalam tempoh 24 jam selepas penemuan atau aduan diterima.

“Sistem Aplikasi Pemantauan Potholes (AsaPP) telah digunakan bagi memantau potholes secara dalam talian oleh pegawai-pegawai JKR dan juga syarikat konsesi bagi tujuan pemantauan kewujudan potholes pada jalan persekutuan,” katanya.

Empat inisiatif digariskan KKR yang berjaya dilaksanakan dalam 100 hari. - Foto KKR

Selain itu, AKM keempat ialah meningkatkan infrastruktur menyeluruh menerusi dua strategi, iaitu memuktamadkan perjanjian konsesi lebuh raya baharu dan menstrukturkan semula kadar tol lebuh raya utama.

“Ini dilihat apabila KKR memuktamadkan perjanjian satu lebuh raya baharu projek penswastaan Petaling Jaya Dispersal Elevated Highway (PJD Link) yang memberikan manfaat secara langsung serta merangsang pertumbuhan ekonomi di Kawasan seperti PJ Sentral, Zon Industri Seksyen 51, Taman Medan dan Taman Teknologi Bukit Jalil.

“Dijangka impak ekonomi keseluruhan sebanyak RM31 bilion dan mewujudkan 48,000 peluang pekerjaan.

“Di samping itu, KKR juga mendapat kelulusan prinsip kerajaan mengadakan rundingan bersama syarikat konsesi lebuh raya utama bagi tujuan penetapan kadar tol baharu yang lebih rendah.

"Dalam hal ini, pengguna lebuh raya bakal menikmati penjimatan kadar tol bagi lebuh raya yang berkaitan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, pencapaian cemerlang tersebut diharap memberi manfaat kepada semua kumpulan sasar dan berharap agar kementerian terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam ucapan Pembentukan Kabinet sebelum ini mengumumkan menteri di 26 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri perlu membuktikan pencapaian awal mereka dalam tempoh 100 hari pertama memegang portfolio.