MUAR: Pencapaian Ringgit Malaysia sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut merupakan pengiktirafan yang patut menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata perkara itu mencerminkan kekuatan asas ekonomi negara.
Advertisement
Beliau berkata ketika ini ringgit berada pada paras kira-kira RM3.95 berbanding dolar Amerika Syarikat (USD), dan RM3.10 berbanding dolar Singapura (SGD), sekali gus menunjukkan prestasi memberangsangkan berbanding mata wang lain di rantau Asia.
"Jadi ini satu pencapaian yang baik dan kita telah lihat dalam tempoh dua tahun memang ringgit antara mata wang Asia yang dari segi performance sangat baik. Itu realitinya.
"Pengiktirafan seperti ini yang diberikan kepada kerajaan Malaysia dan usaha Malaysia itu sendiri. Ini sepatutnya menjadi kebanggaan kita semua tanpa mengira isu-isu politik. Ini adalah kebanggaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Kempen Internet Selamat di Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Abdul Karim Fakir Ali dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Ringgit Malaysia terus mencatat prestasi cemerlang apabila diiktiraf sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut.
Anwar berkata pencapaian itu mencerminkan kekuatan asas ekonomi negara yang kini menunjukkan pertumbuhan kukuh, disokong oleh peningkatan pelaburan serta keyakinan pasaran global.
-- BERNAMA