PUTRAJAYA: Seorang pemilik kilang berasaskan makanan telah didakwa disyaki menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas sebanyak dua kali, iaitu pada 31 Ogos lalu dan terkini pada 3 September 2021.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor pada 2 dan 3 September 2021 mendapati kilang tersebut beroperasi dan beberapa sampel pelepasan efluen perindustrian diambil.

Tambah Kementerian lagi, sampel air sungai di muka sauk telah diambil serta dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa komposisi kimia.

“Siasatan diteruskan pada tengah malam 3 September yang mana pengawasan kualiti udara yang dijalankan di takat pelepasan akhir kilang (sebelum ke longkang awam) telah berjaya mencerap beberapa bahan iaitu Sebatian Organik Meruap (Volatile Organic Compound, VOC) dalam udara yang berbau.

“(Selain itu) ia mempunyai persamaan dengan bahan-bahan VOC yang dikesan dalam sampel air berbau semasa kejadian henti tugas LRA Sungai Semenyih pada 31 Ogos lalu.

“Berdasarkan petunjuk terbaru tersebut, pihak JAS telah melaksanakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap kilang di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran serta merta dan proses pengeluaran kilang dihentikan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan,” menurut kenyataan itu lagi.

KASA berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 25 (1), Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 25(3) Akta yang sama iaitu denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya bagi setiap parameter.