KUALA LUMPUR:Bekalan air ke kawasan terjejas akibat pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2, 3 dan Rantau Panjang akan pulih secara berperingkat mulai jam 3 petang ini.

Ia susulan empat loji tersebut telah beroperasi semula pada jam 2.40 pagi ini secara berperingkat, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan pagi ini. 

"LRA SSP 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 2.40 pagi ini secara berperingkat setelah bacaan 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan.

"Air Selangor sedang berusaha menstabilkan sistem agihan sebelum bekalan air dapat diagihkan kepada pengguna.

"Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan.

"Bekalan air akan mula diterima oleh pengguna pada jam 3 petang ini secara berperingkat-peringkat mengikut kedudukan kawasan dalam sistem agihan bekalan air," katanya.

Air Selangor berkata, sehingga jam 7 pagi ini, keempat-empat LRA telah selesai melaksanakan aktiviti pencucian dan pengepaman di setiap bahagian dalam proses rawatan di LRA.

BACA: LRA Rantau Panjang, SSP 1, 2 dan 3 beroperasi semula - Amirudin 

Ia bagi memastikan kualiti air yang dibekalkan adalah bersih dan selamat mengikut piawaian Kementerian Kesihatan.

"Air Selangor telah melakukan pengesahan kualiti air di setiap bahagian dalam proses rawatan air serta kolam-kolam imbangan dan telah disahkan tiada bau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara," tambahnya.

Semalam, Air Selangor memaklumkan henti tugas di LRA SSP 1, 2, 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor pada pukul 12.45 tengah hari semalam.

Ia menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang semalam. 

Sementara itu, Air Selangor berkata, bantuan bekalan air alternatif yang telah dilaksanakan akan diteruskan bagi membantu para pengguna yang terjejas.

Ia termasuk menggerakkan sebanyak 111 lori tangki, menyediakan 14 pili awam dan membuka 17 Pusat Khidmat Setempat, serta mengagihkan air minum 5 liter.

Air Selangor akan memaklumkan pelan pemulihan gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.