NATIONAL
Pencemaran Sungai Selangor: Bekalan air pulih di 85 peratus kawasan

Air Selangor menyarankan pengguna membiarkan air pili mengalir sehingga jernih sebelum digunakan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR:Sejumlah 1,097 atau 85 peratus kawasan telah menerima bekalan air sepenuhnya daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual setakat 9 pagi, hari ini.
Sementara itu, sebanyak 195 kawasan lain di wilayah yang terjejas susulan arahan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang masih dalam proses pemulihan.
Menurut Air Selangor dalam satu kenyataan pagi ini, masa pemulihan sepenuhnya untuk kesemua kawasan yang terjejas dijangka pada jam 8 pagi esok (Khamis).
“Wilayah yang terkesan dan telah pulih mengikut peratusan adalah Petaling (97%), Klang/Shah Alam (54%), Gombak (73%), Kuala Lumpur (89%), Hulu Selangor (100%), Kuala Langat (50%) dan Kuala Selangor (99.7%),” katanya.
Mengulas lanjut, Air Selangor berkata pengguna disaran untuk membiarkan air paip mengalir sehingga jernih sebelum digunakan.
“Bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih lagi disediakan untuk kemudahan pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya.
Pada Isnin, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan pada jam 2 pagi Isnin.
Henti tugas keempat-empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
Sumber Facebook airselangor
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami