KUALA LUMPUR: Pendidikan tidak harus dilihat sekadar proses mengejar keputusan cemerlang, sebaliknya perlu memberi penekanan kepada pembentukan akhlak dan melahirkan insan mempunyai sifat “kamil” secara menyeluruh.
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata penerapan nilai, sahsiah serta keperibadian murni amat penting bagi memastikan modal insan yang dilahirkan seimbang dari segi akademik dan pembentukan karakter.
“Belajar bukan sekadar untuk mendapatkan keputusan cemerlang, tetapi kita mahu melahirkan insan mempunyai akhlak dan keperibadian yang baik. Ini yang saya selalu tekankan, iaitu melahirkan insan yang kamil,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Pendidikan MADANI “Sehari Bersama Rakyat” 2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar dan Pudu di Kompleks Seri Bintang, Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Megat Affandi Ismail.
Selain itu, Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata pendidikan perlu terus menjadi asas dalam pembentukan insan kerana kemajuan teknologi digital masa kini seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengaturcaraan perlu disokong dengan asas ilmu yang kukuh.
Beliau juga menekankan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan prospek kebolehpasaran tinggi menjelang 2030 dengan usaha memperkukuh bidang itu disokong menerusi transformasi sekolah digital dan inisiatif pembelajaran digital oleh Kementerian Pendidikan.
Dalam masa sama, Dr Wan Azizah mengingatkan generasi muda agar tidak terlalu terpengaruh dengan penggunaan gajet secara keterlaluan yang boleh memberikan kesan negatif kepada perkembangan mental mereka.
“Saya ada nampak kanak-kanak scroll (menatal) gajet sahaja. Perkara ini ada kesan negatif (harus) belajar, membaca untuk mendapatkan ilmu. Jangan terpengaruh (dengan gajet keterlaluan),” katanya.
Mengenai program itu, Dr Wan Azizah berkata pelbagai pameran dan aktiviti yang mengetengahkan bakat pelajar termasuk AI, keselamatan siber dan kepimpinan penting bagi mempersiapkan golongan muda menghadapi unia pekerjaan, khususnya di kawasan bandar.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan cek cura Pelaksanaan Prakarsa Peningkatan Mutu Sekolah Bawah Reformasi Sekolah Tahun 2026 kepada 12 sekolah dengan 11 daripadanya masing-masing menerima peruntukan RM100,000 manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi RM95,000.
-- BERNAMA