KUALA LUMPUR: Pendigitalan terbukti mengubah nasib perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dalam membantu mereka mengatasi cabaran akibat pandemik COVID-19.

Pendigitalan bukan sahaja memainkan peranan penting dalam membantu PKS di Malaysia meningkatkan produktiviti mereka ketika pasca-pandemik, ia juga telah membantu PKS mencapai pangkalan pelanggan yang lebih luas, memberikan mereka akses kepada pasaran yang lebih besar, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan.

Pengerusi Persatuan Internet Digital Malaysia (iaM), Ts. K Nantha Kumar berkata bahawa pendigitalan telah meningkatkan produktiviti keseluruhan PKS di Malaysia dan membolehkan mereka kekal berdaya saing dalam landskap perniagaan yang berkembang pesat.

"Dengan mengguna pakai teknologi digital seperti 'cloud computing', automasi dan e-dagang, PKS boleh menyelaraskan operasi mereka, mengurangkan proses manual dan meningkatkan kecekapan," kata Nantha Kumar kepada Bernama baru-baru ini.

Nantha Kumar berkata pendekatan yang kukuh dan tersusun diperlukan untuk menyokong PKS di Malaysia dalam automasi dan pendigitalan, sambil menambah bahawa pendekatan itu boleh membantu PKS mengatasi halangan biasa dalam pendigitalan, termasuk kekurangan kemahiran digital dan akses terhad kepada pembiayaan.

Beliau berkata pendekatan sedemikian boleh menyediakan PKS dengan sumber dan sokongan yang diperlukan untuk menerima pakai dan menggunakan teknologi baharu dengan berkesan, sambil menambah bahawa kaedah pendekatan itu harus merangkumi langkah untuk meningkatkan kemahiran digital, akses kewangan dan pembangunan infrastruktur digital.

"Ia juga harus melibatkan kerjasama antara kerajaan, organisasi sektor swasta dan PKS untuk memastikan keperluan peniaga kecil dipenuhi," tambahnya.

Beliau memetik laporan oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) yang menekankan bahawa penyelesaian digital yang dipupuk oleh teknologi baharu, seperti blok rantaian dan Internet of things, mempunyai potensi untuk menyokong kemudahan eksport PKS di negara yang paling terdedah.

Beliau juga percaya bahawa peningkatan geran dan kemudahan melalui organisasi kerajaan seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Malaysian Research and Development Information Network (MRANTI) dan SME Corporation boleh memainkan peranan penting menyokong PKS dalam usaha untuk mendigitalkan perniagaan mereka.

"Sokongan ini boleh membantu PKS bukan sahaja pulih daripada pandemik tetapi juga untuk meningkatkan daya saing mereka dalam ekonomi digital," katanya.

-- BERNAMA